MotoGP perkenalkan format baru bermula musim hadapan. Perlumbaan ‘sprint’ bakal menggantikan sesi ujian latihan bebas FP4, sekali gus memberikan aksi dan perlumbaan selama dua hari, iaitu Sabtu dan Ahad. Mengadaptasi lebih kurang konsep WSBK dan F1, namun perbezaannya adalah perlumbaan sprint MotoGP akan diadakan di setiap pusingan dan tidak akan menentukan kedudukan grid.
Mengulas berkenaan dengan format baru, Prinsipal pasukan RNF MotoGP Racing, Dato Razlan Razali, berkata,
“Bagi saya, format baru ini boleh menarik penonton baru. Saya ada baca beberapa komen di mana penonton datang pada hari Ahad sahaja untuk satu hari perlumbaan, dan ianya tidak mencukupi. Mereka mahu lihat lebih aksi MotoGP”
“Anda dapat lihat lebih aksi pada hari Sabtu (dengan format baru) dan akan ada lebih nilai. Pelumba MotoGP juga boleh lebih berinteraksi bersama peminat”
“Jadi, bagi saya, ia akan memberi nilai yang lebih kepada penonton, juga akan memberi lebih aksi”
“Saya tidak nampak masalah dengan ini. Bagi saya ianya lebih baik untuk ada 2 dos aksi MotoGP, pada hari Sabtu dan Ahad”
Apabila disoal berkenaan ramai pelumba tidak mengetahui perkara ini dari DORNA dan FIM sendiri, Dato Razlan berkata,
“Kami diberitahu mengenai perkara ini pada hari Khamis, apabila tiba di litar. Pasukan perlu berbincang dengan pelumba. Saya tidak pasti mungkin ada pasukan yang berbincang, ada yang tidak”
Turut menambah,
“Mungkin DORNA boleh mempersembahkan format baru ini dengan lebih baik. Saya sudahpun melihat cadangan tersebut. FP4 menjadi perlumbaan. Tiada ‘Warm Up’ pada hari Ahad, di gantikan dengan 10 – 15 minit pitlane dibuka. Tiada banyak beza dengan jadual sekarang”
“Saya tidak pasti sama ada pelumba sudahpun melihat cadangan ini, juga pihak media”
Mengulas pendapat berkenaan komen suara para pelumba perlu turut di ambil kira, Dato Razlan berkata,
“Safety commission adalah satu tempat untuk pelumba menyuarakan pendapat. Format ini sudahpun dibincangkan dalam safety commission semalam. Kita ada lebih kurang 22 – 24 pelumba, dan mungkin setiap pelumba ada pendapat berbeza.”
“Jadi, DORNA dan FIM perlu membuat keputusan. Mereka melihat dari setiap sudut. Mereka juga perlu mempromosikan sukan ini dengan baik. Lebih banyak perlumbaan, lebih pulangan untuk semua pihak, dan ini juga akan berbalik kepada pelumba”
“Perbincangan ini ada dibuat dalam safety commission. Safety Commission bukan sahaja untuk membincangkan perihal perlumbaan, juga perkara-perkara lain”
Barisan pelumba untuk pasukan RNF Racing MotoGP musim 2023 akan diumumkan pada 1 September 2022, di GP Misano. Dato’ Razlan Razali turut mengesahkan barisan pelumba sekarang tidak akan beraksi bersama RNF musim hadapan.
Sumber : TARMAC Sports Malaysia